Wednesday 12 December 2012

Rujukan


Mohd Rasdi bin Saamah. Pemerolehan Bahasa Kanak-kanak Berusia Dua Tahun:
 SatuTinjauan. Jabatan Pengajian Melayu. IPGM Kampus Tengku Ampuan
 Afzan

Nik Safiah Karim. (1990). Beberapa persoalan sosiolinguistik bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka.

Tay Meng Guat. (2006). Pemerolehan bahasa kanak-kanak: Satu Analisis  Sintaksis:
 Jurnal Penyelidikan IPBL, 7. hlm 87-108

            diakses pada 7.12.2012

Kesimpulan


Terdapat kelainan bahasa yang dilahirkan dalam bahasa kanak-kanak berdasarkan kepada proses pemerolehan bahasa dan persepsi kanak-kanak terhadap bahasanya. Kelainan bahasa tersebut mempamerkan perbezaan yang jelas dari segi kosa kata, morfologi dan sintaksis. Selain itu, bahasa kanak-kanak juga diwarnai dengan unsur-unsur dialek ibu bapa dan persekitarannya.  Namun begitu, tujuan dan peranan bahasa tetap sama, iaitu menjadi medium komunikasi terpenting dalam kehidupan seharian.

Pengajaran Pemerolehan Bahasa Kedua

Pembelajaran bahasa kedua  mesti dipelajari secara formal dan hanya berkembang melalui latihan dan pengukuhan. Oleh itu, dorongan (rangsangan) dan sikap positif adalah perlu.
Dalam konteks pengajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa pertama kepada pelajar Melayu tidak banyak masalah. Sebaliknya, mengajar bahasa kedua kepada bukan penutur jati (orang Melayu misalnya) memerlukan lebih perhatian. Pelajar perlu melalui rancangan-rancangan dan aktiviti-aktiviti yang tersusun dengan kaedah-kaedah tertentu.
Menghuraikan masalah pembelajaran bahasa kedua, Abdullah Hassan (1980) menjelaskan :

“Mungkin salah satu masalah yang besar ialah bahasa Melayu yang diajar itu amat formal dan tidak ada kegunaan atau persamaannya dengan bahasa yang digunakan hari-hari, sehingga murid-murid terpaksa mempelajari suatu dialek yang berlainan yang tidak boleh mereka tuturkan di luar kelas.”

Adalah jelas bahawa mempelajari bahasa kedua merupakan satu proses mempelajari perlakuan baru. Justeru, dalam proses pembelajaran, gangguan daripada bahasa ibunda sering terjadi. Lingkungan kebudayaan dan bahasa ibunda pelajar sering mempengaruhi proses pembelajaran bahasa kedua mereka. Oleh itu, pengajaran bahasa kedua hendaklah dirancang dan dilaksanakan secara bersistem. dan formal. Berikut merupakan proses-proses dalam pengajaran pemerolehan bahasa kedua. 
a)    Pembelajaran bahasa kedua ialah satu proses mekanis. Proses ini akan 
     membentuk perlakuan dan tabiat baru menguasai kemahiran bahasa, iaitu melalui
     latihan-latihan dan peneguhan.
b)    Bentuk bahasa pertuturan dipelajari terlebih dahulu. Pengajaran bahasa kedua mesti didahulukan dengan kemahiran lisan. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran bermula daripada kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Kanak-kanak diajar menyebut perkataan sebelum bentuk-bentuk tulisan.
c)    Pembelajaran secara membuat analogi. Pelajar cepat menerima dan memahami makna perkataan dengan cara melihat persamaan dan perkaitannya dengan objek yang dianalogikan. Analogi digunakan untuk menunjukkan persamaan ciri atau sifat. Cara ini akan mempermudah guru mengajar tanpa perlu menghabiskan masa panjang untuk menjelaskan konsep-konsepnya
.
d)    Makna dipelajari dalam konteks. Makna haruslah dipelajari dalam konteks yang
      dapat        menerangkan makna itu dalam konteks agama, adat dan adab, dan
      sosio budaya teks           atau rujukan teks.

Tuesday 11 December 2012

Pengajaran Pemerolehan Bahasa Pertama

Pemerolehan bahasa pertama menurut Noor Aina Dani ialah peringkat linguistik, yang terdiri daripada peringkat bebelan ( vokalisasi), pertuturan satu kata (holofrasa), pertuturan dua dan tiga kata (telegrafik) dan perkembangan ayat yang kompleks.

1. Bebelan ( Vokalisasi)

Bayi belum pandai bercakap tetapi berupaya mengeluarkan berbagai-bagai bunyi melalui mulutnya. Bayi menangis, menguku seperti burung, merobok seperti bunyi air keluar dari botol yang bermulut kecil, menghembus, meludah dan banyak lagi bunyi yang sukar dijelaskan. Melalui bunyi- bunyi ini bayi berlatih mengawal alat artikulasinya. Bebelan melibatkan penggunaan bunyi bahasa, khususnya suku kata vokal dan konsonan-vokal seperti a /, /u /, / ma / , / gi /, / pa.


2. Pertuturan Satu Kata (Holofrasa)

Kata pertama kanak-kanak muncul ketika berumur 4 bulan, 18 bulan, atau pada umur yang lebih daripada itu. Secara purata, kanak-kanak sudah boleh menuturkan kata pertamanya sewaktu berumur 10 bulan. 


3. Pertuturan dua dan tiga kata (telegrafik)

 Pada tahap ini, penggabungan kata adalah terlalu ringkas dan kanak-kanak banyak menggunakan kata inti dan turut menggabungkan dua kata. Kata-kata inti yang dibina melibatkan morfem bebas dan tidak melibatkan morfem terikat. Pengguguran subjek juga kerap berlaku pada tahap ini.
 Contoh:           1) naa cucu- meminta susu                        2) naa pok- meminta dibelikan keropok

Pada tahap ini dapat disimpulkan bahawa kanak-kanak hanya menggunakan ucapan yang ringkas untuk menyampaikan hasrat mereka.


4. Perkembangan ayat yang kompleks

Pada tahap ini, kanak-kanak dapat menukarkan ayat yang sederhana kepada yang lebih rencam walaupun ayat tersebut tidak gramatis.
Contoh:           1) Bukan Yuni buat (ayat nafi)
                        2) Mak Yuni pi Langkawi (ayat penyata)
                        3) Beli pok ngan yat (ayat perintah)

Thursday 22 November 2012

Pemerolehan Bahasa Kanak-kanak


        Pemerolehan bahasa bagi kanak-kanak merujuk kepada cara bahasa itu dapat dikuasai oleh seseorang kanak-kanak. Menurut Mangantar Simanjuntak (1987, hal.157), pemerolehan bahasa (language acquisition) ialah proses-proses yang berlaku di dalam otak seseorang kanak-kanak (bayi) sewaktu memperoleh bahasa ibundanya. Semenjak dilahirkan, kanak-kanak dikatakan mampu menganalisis, membuat dan merumus sesuatu peraturan bahasa. Walau bagaimanapun, mereka sekadar menyesuaikan rumus yang terkandung dalam nahu universal dan nahu bahasa pertamanya (Zulkifley Hamid, 1994). 

Proses pemerolehan bahasa kanak-kanak dapat dilihat berlaku sedikit demi sedikit mengikut perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak itu secara keseluruhan. Menurut Jean Piaget (seperti yang dipetik dalam Nik Safiah Karim, 1990, hal.120), semua kanak-kanak akan melalui tahap perkembangan mental yang sama. Namun kadar kecekapan dan kelambatan seseorang kanak-kanak itu memasuki dan melalui tahap perkembangan mental mungkin berbeza antara mereka. Hal tersebut selalunya dikaitkan dengan beberapa faktor seperti faktor baka atau keturunan. Secara umumnya, peringkat pemerolehan bahasa kanak-kanak hampir sama dan kebanyakan pengkaji menghubungkan dengan usia dan pergerakan motor kanak-kanak.     

 Mangantar Simanjuntak (1987) membahagikan peringkat perkembangan bahasa kanak-kanak kepada enam peringkat iaitu :
 a) peringkat membabel atau mengagah atau peringkat kata tidak bermakna; 
 b) peringkat holofrasa; 
 c) peringkat ucapan dua kata;   
 d) peringkat permulaan tatabahasa; 
 e) peringkat menjelang tatabahasa dewasa dan 
d) peringkat kecekapan penuh.

 
Peringkat membabel (mengagah) permulaan berlaku sehingga kanak-kanak berumur enam bulan. Kanak-kanak pada peringkat ini dianggap bermain-main dengan alat-alat ucapannya yang dianggap oleh ahli-ahli psikolinguistik sebagai bunyi-bunyi linguistik nurani (semulajadi) yang bersifat sejagat termasuklah bayi yang pekak juga boleh membunyikannya. Vijayalechumy a/p Subramaniam (2005) menganggap proses tersebut sebagai peringkat vokalisasi. Menurut pengkaji, bayi yang berumur antara enam bulan hingga sebelas bulan belum dapat bercakap tetapi boleh mengeluarkan berbagai-bagai bunyi melalui mulutnya seperti menangis, menguku seperti bunyi burung, merobok seperti bunyi air yang keluar dari botol  yang bermulut kecil, menghembus, meludah, membuihkan mulut dan mencacap. Kanak-kanak pada peringkat ini melatih dan mengawal alat-alat artikulasinya. Peringkat membabel lanjutan pula berlaku ketika kanak-kanak berumur antara enam bulan sehinggaa satu tahun. Kanak-kanak pada peringkat ini mula mengatur ucapannya mengikut pola suku kata yang lebih teratur serta mempunyai intonasi yang teratur serta berulang. Pada peringkat ini, ibu bapa kanak-kanak sering berasa bahawa kanak-kanak ingin menyampaikan sesuatu maksud apabila mereka menghasilkan ujaran tersebut (Vijayalechumy a/p Subramaniam, 2005, hal.122). Bayi-bayi yang pekak, berhenti mengagah atau membabel kerana tidak terdedah  kepada ucapan-ucapan orang dewasa, sehingga tidak mungkin mereka menyampaikan sesuatu dengan babelannya (agahannya) (Mangantar Simanjuntak, 1987, hal.180).

Kanak-kanak akan memasuki peringkat holofrasa atau peringkat satu kata yang dianggap Steinberg (seperti yang dipetik dalam Vijayalechumy a/p Subramaniam, 2005) sebagai peringkat linguistik pertama. Kanak-kanak pada peringkat ini mencapai keinginannya dengan mengucapkan satu kata sahaja. Dalam komunikasi, mereka menganggap boleh menerangkan satu ayat atau frasa yang lengkap. Lenneberg (seperti yang dipetik dalam Mangantar Simanjuntak, 1987) menyokong teori holofrasa dengan alasan pada peringkat ini ingatan dan alat-alat ucapan bayi belum cukup matang untuk mengungkap satu ayat yang lebih daripada satu suku kata.

Peringkat ucapan dua kata pula umumnya berlaku ketika kanak-kanak berumur lebih kurang dua tahun. Kanak-kanak pada peringkat ini mengucapkan dua holofrasa dengan urutan yang sangat cepat.

Seterusnya peringkat permulaan tatabahasa bermula ketika kanak-kanak berumur lebih kurang dua tahun. Mereka pada peringkat ini mula menggunakan elemen-elemen tatabahasa seperti menggunakan awalan dan akhiran dalam bahasa Melayu.

Kanak-kanak yang berumur di antara tiga tahun hingga empat tahun mula memasuki peringkat menjelang tatabahasa dewasa. Menurut Mangantar Simanjuntak (1987, hal.186), ayat-ayat yang diterbitkan oleh kanak-kanak pada peringkat ini sudah dikira rumit dan kanak-kanak ini telah dapat digolongkan sebagai  ’bijak bercakap’.

Peringkat kecekapan penuh kemudiannya berlaku ketika kanak-kanak berumur empat tahun atau lima tahun. Secara umumnya kanak-kanak yang normal pada peringkat ini dapat menguasai elemen-elemen sintaksis bahasa ibundanya. Namun, perbendaharaan kata-katanya masih kurang sehinggalah terus berkembang apabila memasuki alam persekolahan.