Thursday 22 November 2012

Pemerolehan Bahasa Kanak-kanak


        Pemerolehan bahasa bagi kanak-kanak merujuk kepada cara bahasa itu dapat dikuasai oleh seseorang kanak-kanak. Menurut Mangantar Simanjuntak (1987, hal.157), pemerolehan bahasa (language acquisition) ialah proses-proses yang berlaku di dalam otak seseorang kanak-kanak (bayi) sewaktu memperoleh bahasa ibundanya. Semenjak dilahirkan, kanak-kanak dikatakan mampu menganalisis, membuat dan merumus sesuatu peraturan bahasa. Walau bagaimanapun, mereka sekadar menyesuaikan rumus yang terkandung dalam nahu universal dan nahu bahasa pertamanya (Zulkifley Hamid, 1994). 

Proses pemerolehan bahasa kanak-kanak dapat dilihat berlaku sedikit demi sedikit mengikut perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak itu secara keseluruhan. Menurut Jean Piaget (seperti yang dipetik dalam Nik Safiah Karim, 1990, hal.120), semua kanak-kanak akan melalui tahap perkembangan mental yang sama. Namun kadar kecekapan dan kelambatan seseorang kanak-kanak itu memasuki dan melalui tahap perkembangan mental mungkin berbeza antara mereka. Hal tersebut selalunya dikaitkan dengan beberapa faktor seperti faktor baka atau keturunan. Secara umumnya, peringkat pemerolehan bahasa kanak-kanak hampir sama dan kebanyakan pengkaji menghubungkan dengan usia dan pergerakan motor kanak-kanak.     

 Mangantar Simanjuntak (1987) membahagikan peringkat perkembangan bahasa kanak-kanak kepada enam peringkat iaitu :
 a) peringkat membabel atau mengagah atau peringkat kata tidak bermakna; 
 b) peringkat holofrasa; 
 c) peringkat ucapan dua kata;   
 d) peringkat permulaan tatabahasa; 
 e) peringkat menjelang tatabahasa dewasa dan 
d) peringkat kecekapan penuh.

 
Peringkat membabel (mengagah) permulaan berlaku sehingga kanak-kanak berumur enam bulan. Kanak-kanak pada peringkat ini dianggap bermain-main dengan alat-alat ucapannya yang dianggap oleh ahli-ahli psikolinguistik sebagai bunyi-bunyi linguistik nurani (semulajadi) yang bersifat sejagat termasuklah bayi yang pekak juga boleh membunyikannya. Vijayalechumy a/p Subramaniam (2005) menganggap proses tersebut sebagai peringkat vokalisasi. Menurut pengkaji, bayi yang berumur antara enam bulan hingga sebelas bulan belum dapat bercakap tetapi boleh mengeluarkan berbagai-bagai bunyi melalui mulutnya seperti menangis, menguku seperti bunyi burung, merobok seperti bunyi air yang keluar dari botol  yang bermulut kecil, menghembus, meludah, membuihkan mulut dan mencacap. Kanak-kanak pada peringkat ini melatih dan mengawal alat-alat artikulasinya. Peringkat membabel lanjutan pula berlaku ketika kanak-kanak berumur antara enam bulan sehinggaa satu tahun. Kanak-kanak pada peringkat ini mula mengatur ucapannya mengikut pola suku kata yang lebih teratur serta mempunyai intonasi yang teratur serta berulang. Pada peringkat ini, ibu bapa kanak-kanak sering berasa bahawa kanak-kanak ingin menyampaikan sesuatu maksud apabila mereka menghasilkan ujaran tersebut (Vijayalechumy a/p Subramaniam, 2005, hal.122). Bayi-bayi yang pekak, berhenti mengagah atau membabel kerana tidak terdedah  kepada ucapan-ucapan orang dewasa, sehingga tidak mungkin mereka menyampaikan sesuatu dengan babelannya (agahannya) (Mangantar Simanjuntak, 1987, hal.180).

Kanak-kanak akan memasuki peringkat holofrasa atau peringkat satu kata yang dianggap Steinberg (seperti yang dipetik dalam Vijayalechumy a/p Subramaniam, 2005) sebagai peringkat linguistik pertama. Kanak-kanak pada peringkat ini mencapai keinginannya dengan mengucapkan satu kata sahaja. Dalam komunikasi, mereka menganggap boleh menerangkan satu ayat atau frasa yang lengkap. Lenneberg (seperti yang dipetik dalam Mangantar Simanjuntak, 1987) menyokong teori holofrasa dengan alasan pada peringkat ini ingatan dan alat-alat ucapan bayi belum cukup matang untuk mengungkap satu ayat yang lebih daripada satu suku kata.

Peringkat ucapan dua kata pula umumnya berlaku ketika kanak-kanak berumur lebih kurang dua tahun. Kanak-kanak pada peringkat ini mengucapkan dua holofrasa dengan urutan yang sangat cepat.

Seterusnya peringkat permulaan tatabahasa bermula ketika kanak-kanak berumur lebih kurang dua tahun. Mereka pada peringkat ini mula menggunakan elemen-elemen tatabahasa seperti menggunakan awalan dan akhiran dalam bahasa Melayu.

Kanak-kanak yang berumur di antara tiga tahun hingga empat tahun mula memasuki peringkat menjelang tatabahasa dewasa. Menurut Mangantar Simanjuntak (1987, hal.186), ayat-ayat yang diterbitkan oleh kanak-kanak pada peringkat ini sudah dikira rumit dan kanak-kanak ini telah dapat digolongkan sebagai  ’bijak bercakap’.

Peringkat kecekapan penuh kemudiannya berlaku ketika kanak-kanak berumur empat tahun atau lima tahun. Secara umumnya kanak-kanak yang normal pada peringkat ini dapat menguasai elemen-elemen sintaksis bahasa ibundanya. Namun, perbendaharaan kata-katanya masih kurang sehinggalah terus berkembang apabila memasuki alam persekolahan.