Pemerolehan bahasa bagi kanak-kanak merujuk kepada
cara bahasa itu dapat dikuasai oleh seseorang kanak-kanak. Menurut Mangantar
Simanjuntak (1987, hal.157), pemerolehan bahasa (language acquisition) ialah proses-proses yang berlaku di dalam
otak seseorang kanak-kanak (bayi) sewaktu memperoleh bahasa ibundanya. Semenjak
dilahirkan, kanak-kanak dikatakan mampu menganalisis, membuat dan merumus
sesuatu peraturan bahasa. Walau bagaimanapun, mereka sekadar menyesuaikan rumus
yang terkandung dalam nahu universal dan nahu bahasa pertamanya (Zulkifley
Hamid, 1994).
Proses pemerolehan
bahasa kanak-kanak dapat dilihat berlaku sedikit demi sedikit mengikut
perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak itu secara keseluruhan. Menurut
Jean Piaget (seperti yang dipetik dalam Nik Safiah Karim, 1990, hal.120), semua
kanak-kanak akan melalui tahap perkembangan mental yang sama. Namun kadar
kecekapan dan kelambatan seseorang kanak-kanak itu memasuki dan melalui tahap
perkembangan mental mungkin berbeza antara mereka. Hal tersebut selalunya
dikaitkan dengan beberapa faktor seperti faktor baka atau keturunan. Secara
umumnya, peringkat pemerolehan bahasa kanak-kanak hampir sama dan kebanyakan
pengkaji menghubungkan dengan usia dan pergerakan motor kanak-kanak.
Mangantar Simanjuntak (1987) membahagikan
peringkat perkembangan bahasa kanak-kanak kepada enam peringkat iaitu :
a)
peringkat membabel atau mengagah atau peringkat kata tidak bermakna;
b)
peringkat holofrasa;
c) peringkat ucapan dua kata;
d) peringkat permulaan
tatabahasa;
e) peringkat menjelang tatabahasa dewasa dan
d) peringkat kecekapan penuh.
d) peringkat kecekapan penuh.
Peringkat membabel (mengagah) permulaan
berlaku sehingga kanak-kanak berumur enam bulan. Kanak-kanak pada peringkat ini
dianggap bermain-main dengan alat-alat ucapannya yang dianggap oleh ahli-ahli
psikolinguistik sebagai bunyi-bunyi linguistik nurani (semulajadi) yang
bersifat sejagat termasuklah bayi yang pekak juga boleh membunyikannya.
Vijayalechumy a/p Subramaniam (2005) menganggap proses tersebut sebagai
peringkat vokalisasi. Menurut pengkaji, bayi yang berumur antara enam bulan
hingga sebelas bulan belum dapat bercakap tetapi boleh mengeluarkan
berbagai-bagai bunyi melalui mulutnya seperti menangis, menguku seperti bunyi
burung, merobok seperti bunyi air yang keluar dari botol yang bermulut kecil, menghembus, meludah,
membuihkan mulut dan mencacap. Kanak-kanak pada peringkat ini melatih dan
mengawal alat-alat artikulasinya. Peringkat membabel lanjutan pula berlaku
ketika kanak-kanak berumur antara enam bulan sehinggaa satu tahun. Kanak-kanak
pada peringkat ini mula mengatur ucapannya mengikut pola suku kata yang lebih
teratur serta mempunyai intonasi yang teratur serta berulang. Pada peringkat
ini, ibu bapa kanak-kanak sering berasa bahawa kanak-kanak ingin menyampaikan
sesuatu maksud apabila mereka menghasilkan ujaran tersebut (Vijayalechumy a/p
Subramaniam, 2005, hal.122). Bayi-bayi yang pekak, berhenti mengagah atau
membabel kerana tidak terdedah kepada
ucapan-ucapan orang dewasa, sehingga tidak mungkin mereka menyampaikan sesuatu
dengan babelannya (agahannya) (Mangantar Simanjuntak, 1987, hal.180).
Kanak-kanak akan memasuki peringkat
holofrasa atau peringkat satu kata yang dianggap Steinberg (seperti yang
dipetik dalam Vijayalechumy a/p Subramaniam, 2005) sebagai peringkat linguistik
pertama. Kanak-kanak pada peringkat ini mencapai keinginannya dengan
mengucapkan satu kata sahaja. Dalam komunikasi, mereka menganggap boleh
menerangkan satu ayat atau frasa yang lengkap. Lenneberg (seperti yang dipetik
dalam Mangantar Simanjuntak, 1987) menyokong teori holofrasa dengan alasan pada
peringkat ini ingatan dan alat-alat ucapan bayi belum cukup matang untuk
mengungkap satu ayat yang lebih daripada satu suku kata.
Peringkat ucapan dua kata pula umumnya
berlaku ketika kanak-kanak berumur lebih kurang dua tahun. Kanak-kanak pada
peringkat ini mengucapkan dua holofrasa dengan urutan yang sangat cepat.
Seterusnya peringkat permulaan tatabahasa
bermula ketika kanak-kanak berumur lebih kurang dua tahun. Mereka pada
peringkat ini mula menggunakan elemen-elemen tatabahasa seperti menggunakan
awalan dan akhiran dalam bahasa Melayu.
Kanak-kanak yang berumur di antara tiga
tahun hingga empat tahun mula memasuki peringkat menjelang tatabahasa dewasa.
Menurut Mangantar Simanjuntak (1987, hal.186), ayat-ayat yang diterbitkan oleh
kanak-kanak pada peringkat ini sudah dikira rumit dan kanak-kanak ini telah
dapat digolongkan sebagai ’bijak
bercakap’.
Peringkat kecekapan penuh kemudiannya
berlaku ketika kanak-kanak berumur empat tahun atau lima tahun. Secara umumnya
kanak-kanak yang normal pada peringkat ini dapat menguasai elemen-elemen
sintaksis bahasa ibundanya. Namun, perbendaharaan kata-katanya masih kurang
sehinggalah terus berkembang apabila memasuki alam persekolahan.