Wednesday, 12 December 2012

Pengajaran Pemerolehan Bahasa Kedua

Pembelajaran bahasa kedua  mesti dipelajari secara formal dan hanya berkembang melalui latihan dan pengukuhan. Oleh itu, dorongan (rangsangan) dan sikap positif adalah perlu.
Dalam konteks pengajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa pertama kepada pelajar Melayu tidak banyak masalah. Sebaliknya, mengajar bahasa kedua kepada bukan penutur jati (orang Melayu misalnya) memerlukan lebih perhatian. Pelajar perlu melalui rancangan-rancangan dan aktiviti-aktiviti yang tersusun dengan kaedah-kaedah tertentu.
Menghuraikan masalah pembelajaran bahasa kedua, Abdullah Hassan (1980) menjelaskan :

“Mungkin salah satu masalah yang besar ialah bahasa Melayu yang diajar itu amat formal dan tidak ada kegunaan atau persamaannya dengan bahasa yang digunakan hari-hari, sehingga murid-murid terpaksa mempelajari suatu dialek yang berlainan yang tidak boleh mereka tuturkan di luar kelas.”

Adalah jelas bahawa mempelajari bahasa kedua merupakan satu proses mempelajari perlakuan baru. Justeru, dalam proses pembelajaran, gangguan daripada bahasa ibunda sering terjadi. Lingkungan kebudayaan dan bahasa ibunda pelajar sering mempengaruhi proses pembelajaran bahasa kedua mereka. Oleh itu, pengajaran bahasa kedua hendaklah dirancang dan dilaksanakan secara bersistem. dan formal. Berikut merupakan proses-proses dalam pengajaran pemerolehan bahasa kedua. 
a)    Pembelajaran bahasa kedua ialah satu proses mekanis. Proses ini akan 
     membentuk perlakuan dan tabiat baru menguasai kemahiran bahasa, iaitu melalui
     latihan-latihan dan peneguhan.
b)    Bentuk bahasa pertuturan dipelajari terlebih dahulu. Pengajaran bahasa kedua mesti didahulukan dengan kemahiran lisan. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran bermula daripada kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Kanak-kanak diajar menyebut perkataan sebelum bentuk-bentuk tulisan.
c)    Pembelajaran secara membuat analogi. Pelajar cepat menerima dan memahami makna perkataan dengan cara melihat persamaan dan perkaitannya dengan objek yang dianalogikan. Analogi digunakan untuk menunjukkan persamaan ciri atau sifat. Cara ini akan mempermudah guru mengajar tanpa perlu menghabiskan masa panjang untuk menjelaskan konsep-konsepnya
.
d)    Makna dipelajari dalam konteks. Makna haruslah dipelajari dalam konteks yang
      dapat        menerangkan makna itu dalam konteks agama, adat dan adab, dan
      sosio budaya teks           atau rujukan teks.

No comments:

Post a Comment